Rabu, Februari 08, 2012

Kadar baru pencen bukti jasa pesara tentera dikenang

KETIKA usaha mengemaskini skim baru gaji kakitangan awam dilakukan, kerajaan tidak melupakan kebajikan pesara tentera yang pernah menabur bakti ketika berkhidmat dalam mempertahankan keamanan negara. Menerusi pelarasan itu, kira-kira 103,000 pesara tentera akan menikmati kadar baru pencen dengan kenaikan antara 2.5 hingga lapan peratus yang dibayar secara berperingkat mulai akhir bulan ini. Skim saraan baru itu sejajar dengan pelarasan pencen lebih 600,000 pesara kerajaan seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012
Seramai 20,000 pesara yang menamatkan perkhidmatan selepas 1 Oktober 2004 menerima bayaran pencen dengan kadar baru itu, manakala baki 80,300 pesara yang pencen sebelum tarikh berkenaan diselaraskan selepas kelulusan jadual gaji baru di bawah Sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kenaikan dinikmati anggota yang berkhidmat selama lebih 21 tahun itu membolehkan pesara tentera menerima pencen bulanan minimum RM777.60 berbanding RM720 sebelum ini. Sementara itu seramai 175,000 anggota yang menamatkan perkhidmatan kurang daripada 21 tahun yang menghadapi kesukaran mendapat pekerjaan akan dibantu menerusi program latihan khusus bagi membolehkan mereka mencebur perniagaan dan mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan swasta. Kadar pencen bulanan pesara tentera itu tidak akan ‘mati’ di situ saja. Sebagai kerajaan prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat khususnya mereka yang pernah berbakti kepada negara, apatah lagi dalam menjaga keamanan, tentunya kadar itu dikaji mengikut keadaan semasa

Tiada ulasan: